Saturday 26 September 2015

ANALISIS KESALAHAN BAHASA DARI ASPEK MORFOLOGI ATAU SINTAKSIS

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN LAMAN SOSIAL

Menurut Nik Safiah Karim et. al, (2014), kesalahan bahasa ditakrifkan sebagai penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-peraturan bahasa yang telah dipersetujui sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat.

Sehubungan itu, untuk memenuhi keperluan kerja kursus saya iaitu Sistem Bahasa Melayu (PKP3163), saya telah memilih petikan yang bertajuk “Kebaikan dan Keburukan Laman Sosial” untuk dianalisis dari aspek morfologi dan sintaksis. Petikan ini ditulis oleh Mohd Karizam Abd Karim pada tahun 2012 dan saya mendapati terdapat beberapa kesalahan bahasa yang terkandung dalam petikan tersebut. Antaranya ialah:

Morfologi

Kesalahan 1 :  Kata Pinjaman

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata pinjaman bermaksud perkataan yang diambil daripada bahasa asing. Selain itu kata pinjaman juga membawa maksud kata yang sudah terserap di dalam sesuatu bahasa yang berasal daripada bahasa lain. Dalam petikan ini, terdapat beberapa perkataan yang tidak ditulis dalam Bahasa Melayu walaupun telah berlaku proses peminjaman kata. Contohnya:


BIL
SALAH
BETUL
1
Pada masa ini, penggunaan laman social melalui internet amat popular di Malaysia.
Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia.
2
Gambar yang telah diletakkan di dalam profile juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan.
Gambar yang telah diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan.
Analisis: Kedua-dua perkataan ‘social’ dan ‘profile’ merupakan bahasa Inggeris. Perkataan-perkataan ini sepatutnya ditulis dalam Bahasa Malayu seperti yang telah dinyatakan di atas.


Kesalahan 2 : Kata Penguat

Kata penguat berfungsi untuk menguatkan maksud yang terdapat dalam kata. Terdapat tiga jenis kata penguat, iaitu kata penguat hadapan, kata penguat belakang, dan kata penguat bebas. Berikut merupakan contoh ayat yang telah menggunakan kata penguat yang salah dalam petikan terpilih.

BIL
SALAH
BETUL
ANALISIS
1
…pulangan pendapatan melalui media massa juga amat tinggi sekali.
…pulangan pendapatan melalui media massa juga amat tinggi / tinggi sekali.
Perkataan “amat” merupakan kata penguat bebas dan boleh diletakkan sama ada di hadapan atau di belakang frasa manakala perkataan “sekali” merupakan kata penguat belakang. Kedua-dua kata penguat ini tidak dapat hadir serentak dalam satu ayat.


Kesalahan 3 : Imbuhan

Imbuhan bermaksud unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna nahunya. Dalam petikan ini, terdapat beberapa perkataan yang salah diletak imbuhannya. Antaranya ialah:

BIL
SALAH
BETUL
1
…mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadikan mangsa rogol.
…mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
2
…mereka boleh berbincang bersamakan rakan-rakan…
… mereka boleh berbincang bersama rakan-rakan…
Analisis : Imbuhan ‘me-…-kan’ mesti diikuti oleh objek bergerak Oleh itu, kedua-dua ayat di atas tidak perlu menambah imbuhan ‘-kan’ kerana mangsa dan rakan-rakan merupakan objek tidak bergerak.

Kesalahan 4 : Kata Bilangan

Kata bilangan menunjukkan bilangan tak tentu seperti segala, semua, para, beberapa, dan sebagainya yang membawa maksud jamak. Oleh itu, kata nama yang mengikuti kata bilangan ini tidak perlu diulang. Berikut merupakan contoh kesalahan ayat dalam petikan ini.

BIL
SALAH
BETUL
ANALISIS
1
…memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja-remaja.
..memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja.
Perkataan para membawa maksud jamak. Oleh itu, kata nama remaja yang mengikuti kata bilangan ini tidak perlu diulang.


Kesalahan 5 : Kata Majmuk

Kata majmuk bertindak sebagai satu unit dan dieja terpisah. Ia merupakan bentuk kata yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih. Berikut merupakan kata majmuk yang ditulis dengan cara yang salah dalam petikan yang dipilih.

BIL
SALAH
BETUL
ANALISIS
1
…dengan cara menggunakan kemudahan yang sediaada.
…dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada.
Perkataan “sediaada” perlu dijarakkan kerana perkataan ini merupakan kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas.


Kesalahan 6 : Kata Sendi Nama

Kata sendi nama yang sering digunakan dalam bahasa Melayu termasuklah di, ke, dari, daripada dan sebagainya. Berikut merupakan contoh kesalahan kata sendi nama yang terdapat dalam petikan ini.

BIL
SALAH
BETUL
ANALISIS
1
…berlaku terutamanya di kalangan remaja perempuan.
...berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan.
Frasa sendi nama di digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang mempunyai ruang manakala dalam digunakan apabila memperkatakan sesuatu yang bersifat abstrak.
2
Golongan ini mungkin juga terdiri dari golongan pelajar…
Golongan ini mungkin juga terdiri daripada golongan pelajar…
Kata sendi ‘dari’ digunakan dalam hal yang ada hubungan dengan masa, tempat dan arah manakala ‘daripada’ digunakan untuk hal-hal seperti untuk orang, perbandingan, asal kejadian dan sebagainya.


Kesalahan 7 : Kata Hubung

Menurut Amlela (2012), kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menggabungkan perkataan dengan perkataan, rangkai kata dengan rangkai kata serta ayat dengan ayat. Berikut merupakan contoh ayat yang mempunyai kesalahan dari segi kata hubung dalam petikan.

BIL
SALAH
BETUL
ANALISIS
1
Bila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian…
Apabila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian…
‘Bila’ ialah kata tanya yang berkaitan dengan waktu. ‘Apabila’ ialah kata penghubung ayat yang bererti "pada ketika" atau "semasa".


SINTAKSIS
Sintaksis merupakan satu bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Berikut merupakan contoh kesalahan dalam ayat oleh penulis dalam petikan ini.

Kesalahan 8 : Kesalahan Ayat

BIL
SALAH
BETUL
1
…membantu pengguna jalan raya dalam menyusun perjalanan mereka.

…membantu pengguna jalan raya dalam merancang perjalanan mereka.
2
… penggunaan laman sosial ini menyebabkan pelbagai kebaikan…
… penggunaan laman sosial ini mendatangkan pelbagai kebaikan…
3
Adakah anda salah seorang daripada mereka.
Adakah anda salah seorang daripada mereka?


Secara keseluruhannya, terdapat sembilan jenis kesalahan yang dapat dijumpai dalam petikan “Kebaikan dan Keburukan Laman Sosial”. Kesalahan-kesalahan ini harus diperbetul supaya dapat menyampaikan maksud yang tepat serta mudah difahami oleh pembaca.


Petikan Kebaikan dan Keburukan Laman Sosial

PENGENALAN

Pada masa ini, penggunaan laman social melalui internet amat popular di Malaysia. Laman social seperti “Facebook”, “My Space”, “Friendster”, “Twitter” dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutamanya golongan remaja. Laman sesawang rangkaian social tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini. Remaja kini telah menjadikan penggunaan laman social di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman social yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman social ini telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja-remaja.

KEBAIKAN

Sebagaimana yang kita ketahui,penggunaan laman social dapat menambah kenalan yang baru di samping hubungan yang telah lama terputus dapat dieratkan semula. Bila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian di sekolah menyebabkan mereka telah terputus hubungan antara satu sama lain. Laman social ini digunakan sebagai suatu medium utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang telah diceburi oleh rakan dan dapat berinterasi antara satu sama lain. Gambar yang telah diletakkan di dalam profile juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan. Perkara ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sediaada. Jadi jelaslah bahawa penggunaan laman sesawang social boleh menambahkan kenalan yang baharu.

Selain itu,ramai remaja juga menghabiskan masa mereka dengan laman social. Dengan adanya laman sesawang social, mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan melayari Facebook. Bagi mereka yang bijak, di samping mengisi masa lapang ada antara mereka membuat bisnes dan membuat promosi melalui laman sesawang social seperti Facebook dan Twitter. Mereka juga dapat menjadikan laman sesawang social tersebut sebagai alternative untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka. Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di laman sesawang dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju. Siapa sahaja yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukan wang ke dalam bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Oleh itu, medium ini dapat menjimatkan masa dan tidak perlu bersesak-sesak di pusat membeli belah untuk membeli sesuatu barangan.

Di samping itu, kewujudan laman social juga telah dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat. Malah kerjaya dalam bidang penerbitan media massa penuh dengan cabaran dan risiko. Namun demikian pulangan pendapatan melalui media massa juga amat tinggi sekali. Oleh itu, tidak hairanlah syarikat media massa mampu membayar gaji yang lumayan kepada para pekerjanya melalui bayaran perkhidmatan iklan dan bahan yang diterbitkan. Secara tidak langsung, laman social juga telah dapat merangsang perkembangan bidang penyiaran di Malaysia.

Tambahan pula, laman sosial juga dapat menyampaikan sesuatu maklumat dengan cepat kepada kumpulan sasaran. Banyak perkara dan peristiwa perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam keadaan dunia yang seringkali dilanda bencana, peranan media elektronik amat penting. Ramalan keadaan cuaca yang disiarkan di televisyen telah dapat memberikan panduan kepada masyarakat untuk merancang aktiviti harian mereka. Di Malaysia, laman social telah dapat memberikan maklumat dengan cepat seperti dalam kes kejadian tanah runtuh, banjir dan Tsunami. Selain itu maklumat daripada perkhidmatan stesen radio tentang kesesakan jalan raya juga telah dapat membantu pengguna jalan raya dalam menyusun perjalanan mereka.


KEBURUKAN

Penggunaan laman social bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif malah mendatangkan kesan negatif iaitu penggunaan laman social melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya di kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman social. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman social tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman social menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman social itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadikan mangsa rogol.

Selain itu,penggunaan laman social menyebabkan golongan remaja menjadi lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aaplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman social mampu menarik minat pengguna laman social tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi pelajaran dalam kalangan remaja. Hal ini akan menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran kerana tiada masa yang diperuntuk untuk mengulang kaji pelajaran.Apabila berlangsungnya sesuatu peperiksaan markah yang diperolehi merosot dari peperiksaan sebelum ini menyebabkan mereka tercari-cari kesilapan yang telah dilakukan untuk diperbetulkan. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman menyebabkan seseorang itu membazir masa.  

Seterusnya, ketagihan terhadap laman social sudah pasti akan memberi kesan kepada kesihatan sama ada fizikal ataupun mental. Hal ini kerana terlalu khusyuk mengadap komputer mampu memberikan impak buruk terhadap tubuh badan. Sakit sendi, pening kepala, terjejasnya penglihatan, obesiti, malah kanser kerana terdedah kepada radiasi komputer merupakan fenomena biasa merosotnya kesihatan seseorang yang terlibat dalam laman web social.

Tambahan pula, laman social juga boleh meruntuhkan rumah tangga atau menyebabkan seseorang individu menjurus ke arah keghairahan maksiat. Sebagai contoh, isu tentang remaja berzina. Remaja perempuan terjebak dalam gejala zina berpunca daripada Facebook. Mereka terpengaruh dan ghairah dengan kata-kata pujian serta pujaan lelaki menerusi Facebook sehingga membawa perbuatan zina. Gambar-gambar lucah disebarkan. Seks maya dijalankan kerana identiti sebenar tidak diketahui. Facebook juga menyebabkan berlaku kes perceraian kerana suami atau isteri curang selepas berkenalan dengan kekasih menerusi laman web social


MENGAPA REMAJA KETAGIHAN DENGAN LAMAN WEB SOCIAL SEPERTI FACEBOOK?

1. Untuk perkongsian ilmu dan maklumat

Pelajar merupakan individu yang menggunakan kemudahan laman web social ini bagi tujuan perkongsian maklumat dan ilmu dengan rakan-rakan. Bagi mereka, dengan cara ini mereka boleh berbincang bersamakan rakan-rakan dengan pantas tentang sesuatu masalah atau isu yang dikemukakan. Ada juga yang memanfaatkannya dengan perkongsian maklumat tentang perniagaan.

2. Sekadar untuk mengisi masa lapang

Ramai remaja menghabiskan masa mereka dengan Facebook. Dengan adanya laman web social seperti ini, mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan melayari Facebook. Bagi mereka yang bijak, di samping mengisi masa lapang ada antara mereka membuat bisnes dan membuat promosi melalui laman web sosial seperti Facebook dan Twitter.

3. Untuk mencari pasangan hidup

Tidak dinafikan juga ada antara remaja yang melayari laman web social semata-mata untuk mencari pasangan hidup. Dalam bahasa mudah, mencari teman lelaki ataupun teman wanita. Adakah anda salah seorang daripada mereka. Kepada mereka yang kesunyian dan masih bujang, silalah aktifkan diri anda dengan laman web social.

4. Hendak menonjolkan imej diri dan hendak pamer badan yang mantap.

Sebab ini saya rasa adalah paling releven kenapa remaja terlalu taksub dengan laman web social terutama Facebook dan Myspace. Tidak kira perempuan ataupun lelaki, mereka berlumba-lumba mempamerkan wajah dan imej diri dengan gaya yang istimewa termasuk kemantapan badan masing-masing. Bagi yang kacak dan cantik memang menjadi kegilaan sesetengah individu.

5. Ingin mendapatkan berita terkini dengan cepat

Ada juga remaja yang taksub dengan laman web social kerana ingin mendapatkan sesuatu informasi terkini dengan cepat dan pantas. Golongan ini mungkin juga terdiri dari golongan pelajar dan mereka yang suka sesuatu yang baharu. Perasaan ingin tahu dalam diri sangat tinggi.

6. Aplikasi menarik dan ketagihan permainan

Laman web social seperti Facebook menyediakan pelbagai aplikasi dan permainan menarik kepada penggunanya. Bagi mereka yang ketagih dengan game, Facebook merupakan tempat atau medium terbaik untuk melepaskan gian tersebut kerana setakat ini tiada laman web social lain yang dapat menandingi Facebook terutama aplikasi yang disediakan. Dengan adanya aplikasi seperti akan menyebabkan remaja sanggup melayari Facebook 24 jam dan sanggup untuk tidak tidur pada waktu malam.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, penggunaan laman social ini menyebabkan pelbagai kebaikan dan keburukan kepada golongan remaja. Namun impak negatif yang wujud harus diberi perhatian yang serius oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap laman sesawang social yang tidak bertanggungjawab. Sebagai manusia yang berakal pastinya kita perlu menangkis setiap perkara yang buruk. Pepatah ada mengatakan bahawa “mencegah itu lebih baik daripada mengubati".



http://cikgukarizam.blogspot.my/2012/09/karangan-kebaikan-keburukan-laman-sosial.html