Saturday 26 September 2015

ANALISIS KESALAHAN BAHASA DARI ASPEK MORFOLOGI ATAU SINTAKSIS

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN LAMAN SOSIAL

Menurut Nik Safiah Karim et. al, (2014), kesalahan bahasa ditakrifkan sebagai penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-peraturan bahasa yang telah dipersetujui sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat.

Sehubungan itu, untuk memenuhi keperluan kerja kursus saya iaitu Sistem Bahasa Melayu (PKP3163), saya telah memilih petikan yang bertajuk “Kebaikan dan Keburukan Laman Sosial” untuk dianalisis dari aspek morfologi dan sintaksis. Petikan ini ditulis oleh Mohd Karizam Abd Karim pada tahun 2012 dan saya mendapati terdapat beberapa kesalahan bahasa yang terkandung dalam petikan tersebut. Antaranya ialah:

Morfologi

Kesalahan 1 :  Kata Pinjaman

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata pinjaman bermaksud perkataan yang diambil daripada bahasa asing. Selain itu kata pinjaman juga membawa maksud kata yang sudah terserap di dalam sesuatu bahasa yang berasal daripada bahasa lain. Dalam petikan ini, terdapat beberapa perkataan yang tidak ditulis dalam Bahasa Melayu walaupun telah berlaku proses peminjaman kata. Contohnya:


BIL
SALAH
BETUL
1
Pada masa ini, penggunaan laman social melalui internet amat popular di Malaysia.
Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia.
2
Gambar yang telah diletakkan di dalam profile juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan.
Gambar yang telah diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan.
Analisis: Kedua-dua perkataan ‘social’ dan ‘profile’ merupakan bahasa Inggeris. Perkataan-perkataan ini sepatutnya ditulis dalam Bahasa Malayu seperti yang telah dinyatakan di atas.


Kesalahan 2 : Kata Penguat

Kata penguat berfungsi untuk menguatkan maksud yang terdapat dalam kata. Terdapat tiga jenis kata penguat, iaitu kata penguat hadapan, kata penguat belakang, dan kata penguat bebas. Berikut merupakan contoh ayat yang telah menggunakan kata penguat yang salah dalam petikan terpilih.

BIL
SALAH
BETUL
ANALISIS
1
…pulangan pendapatan melalui media massa juga amat tinggi sekali.
…pulangan pendapatan melalui media massa juga amat tinggi / tinggi sekali.
Perkataan “amat” merupakan kata penguat bebas dan boleh diletakkan sama ada di hadapan atau di belakang frasa manakala perkataan “sekali” merupakan kata penguat belakang. Kedua-dua kata penguat ini tidak dapat hadir serentak dalam satu ayat.


Kesalahan 3 : Imbuhan

Imbuhan bermaksud unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna nahunya. Dalam petikan ini, terdapat beberapa perkataan yang salah diletak imbuhannya. Antaranya ialah:

BIL
SALAH
BETUL
1
…mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadikan mangsa rogol.
…mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
2
…mereka boleh berbincang bersamakan rakan-rakan…
… mereka boleh berbincang bersama rakan-rakan…
Analisis : Imbuhan ‘me-…-kan’ mesti diikuti oleh objek bergerak Oleh itu, kedua-dua ayat di atas tidak perlu menambah imbuhan ‘-kan’ kerana mangsa dan rakan-rakan merupakan objek tidak bergerak.

Kesalahan 4 : Kata Bilangan

Kata bilangan menunjukkan bilangan tak tentu seperti segala, semua, para, beberapa, dan sebagainya yang membawa maksud jamak. Oleh itu, kata nama yang mengikuti kata bilangan ini tidak perlu diulang. Berikut merupakan contoh kesalahan ayat dalam petikan ini.

BIL
SALAH
BETUL
ANALISIS
1
…memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja-remaja.
..memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja.
Perkataan para membawa maksud jamak. Oleh itu, kata nama remaja yang mengikuti kata bilangan ini tidak perlu diulang.


Kesalahan 5 : Kata Majmuk

Kata majmuk bertindak sebagai satu unit dan dieja terpisah. Ia merupakan bentuk kata yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih. Berikut merupakan kata majmuk yang ditulis dengan cara yang salah dalam petikan yang dipilih.

BIL
SALAH
BETUL
ANALISIS
1
…dengan cara menggunakan kemudahan yang sediaada.
…dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada.
Perkataan “sediaada” perlu dijarakkan kerana perkataan ini merupakan kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas.


Kesalahan 6 : Kata Sendi Nama

Kata sendi nama yang sering digunakan dalam bahasa Melayu termasuklah di, ke, dari, daripada dan sebagainya. Berikut merupakan contoh kesalahan kata sendi nama yang terdapat dalam petikan ini.

BIL
SALAH
BETUL
ANALISIS
1
…berlaku terutamanya di kalangan remaja perempuan.
...berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan.
Frasa sendi nama di digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang mempunyai ruang manakala dalam digunakan apabila memperkatakan sesuatu yang bersifat abstrak.
2
Golongan ini mungkin juga terdiri dari golongan pelajar…
Golongan ini mungkin juga terdiri daripada golongan pelajar…
Kata sendi ‘dari’ digunakan dalam hal yang ada hubungan dengan masa, tempat dan arah manakala ‘daripada’ digunakan untuk hal-hal seperti untuk orang, perbandingan, asal kejadian dan sebagainya.


Kesalahan 7 : Kata Hubung

Menurut Amlela (2012), kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menggabungkan perkataan dengan perkataan, rangkai kata dengan rangkai kata serta ayat dengan ayat. Berikut merupakan contoh ayat yang mempunyai kesalahan dari segi kata hubung dalam petikan.

BIL
SALAH
BETUL
ANALISIS
1
Bila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian…
Apabila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian…
‘Bila’ ialah kata tanya yang berkaitan dengan waktu. ‘Apabila’ ialah kata penghubung ayat yang bererti "pada ketika" atau "semasa".


SINTAKSIS
Sintaksis merupakan satu bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Berikut merupakan contoh kesalahan dalam ayat oleh penulis dalam petikan ini.

Kesalahan 8 : Kesalahan Ayat

BIL
SALAH
BETUL
1
…membantu pengguna jalan raya dalam menyusun perjalanan mereka.

…membantu pengguna jalan raya dalam merancang perjalanan mereka.
2
… penggunaan laman sosial ini menyebabkan pelbagai kebaikan…
… penggunaan laman sosial ini mendatangkan pelbagai kebaikan…
3
Adakah anda salah seorang daripada mereka.
Adakah anda salah seorang daripada mereka?


Secara keseluruhannya, terdapat sembilan jenis kesalahan yang dapat dijumpai dalam petikan “Kebaikan dan Keburukan Laman Sosial”. Kesalahan-kesalahan ini harus diperbetul supaya dapat menyampaikan maksud yang tepat serta mudah difahami oleh pembaca.


14 comments:

  1. Analisis yang jelas dan lengkap. Banyak memberikan informasi kepada saya. Bagus!

    ReplyDelete
  2. Hasil analisis yang padat dan jelas. Contoh betul yang diberi meningkatkan kefahaman pembaca. Bagus!

    ReplyDelete
  3. Analisis yang lengkap dan sistematik,!

    ReplyDelete
  4. Analisis yang dibuat amat jelas menunjukkan kesalahan dalam petikan. Maklumat yang amat membantu.

    ReplyDelete
  5. Analisis dan penjelasan yang sangat jelas serta banyak memberi maklumat kepada pembaca. Bagus!

    ReplyDelete
  6. Penyusunan maklumat sangat kemas dan bersistematik. Maklumat yang dibekalkan mudah difahami dan diingat.

    ReplyDelete
  7. Isi kandungan dalam petikan menarik perhatian. Analisis yang dilakukan jelas dan amat berguna!

    ReplyDelete
  8. Kaedah membina jadual dapat menunjukkan kesalahan tatabahasa dan cara pembetulan dengan lebih jelas. Isi penyampaian maksud golongan morfologi dan sintaksis amat jelas dan mudah difahami.

    ReplyDelete
  9. Hasil analisis yang komprehensif dan dikategorikan dengan baik!

    ReplyDelete
  10. huraian analisis yang jelas dan lengkap..Syabas!

    ReplyDelete
  11. Analisis yang lengkap dan amat membantu. Taniah!

    ReplyDelete
  12. Hasil analisis yang sangat jelas dan mudah difahami.Tahniah!

    ReplyDelete
  13. Dicadangkan supaya menjelaskan sebab sesuatu kesalahan seperti kata hubungan dan kata sendi nama dibetulkan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas cadangan anda. Cadangan penambahbaikan akan dibuat.

      Delete